Khamis, 2 April 2009

Angka Lapan

Nombor LAPAN disebut ‘pat’ atau ‘pat hau’ oleh masyarakat Tionghua. Bagi mereka angka lapan itu merupakan manifestasi kemewahan dan bertuah. Mereka yang percaya dengan Feng Shui menganggap angka lapan memberi tuah. Sekiranya sahabat-sahabiah pernah ke kasino (sudah pasti tak pernahkan? Sedangkan dakwah perlu menerobos sempadan tempat seperti yang dilakukan oleh Hassan al-Banna), nombor lapan pasti akan menjadi tumpuan di meja roulette.


Di mana-mana sahaja kasino di seantero dunia, masyarakat Tionghua (tak mustahil umat Melayu Islam juga) yang minat berjudi akan melonggokan chip yang banyak di angka lapan berbanding dengan nombor-nombor yang lain. Pasti akan terdengar jeritan ‘pat hau’ apabila bola sebesar biji guli berwarna putih yang berpusing-pusing di meja roulette itu tiba-tiba terhenti di angka lapan. Tuah sudah datang, ‘ong’ sudah bertandang. Yang kalah jangan meradang, yang menang jangan bersengkang. Itu hanya kepercayaan masyarakat Tionghua yang kita identifikasikan menganut agama Buddha. Hakikatnya judi adalah haram dalam Islam.

Saya tidak berniat bercerita terus tentang angka lapan di meja judi. Apa yang saya cuba sampaikan betapa angka lapan ini membawa tuah di mana sahaja. Mungkin suatu suratan atau kebetulan. Oleh sebab itu, perjalanan penuh mehnah dan tribulasi generasi kelapan (PJ8) dalam sebuah syarikat kecil bernama HM perlu dikongsikan. Maka tercetuslah idea melahirkan blog NUHIBBUKALLAH WA ISLAM, (Kami Mencintai Allah dan Islam) sebagai medan dakwah dan pengikat ukhuwah fillah antara sesama ahli tanpa menafikan hak menjadi dai’e kepada mahasiswa khususnya dan masyarakat luar amnya.

Tambahan pula tinggal sebulan sahaja lagi, ahli-ahli PJ8 akan meninggalkan perjuangan kampus untuk memberi laluan kepada para generasi muda penerus perjuangan Rasulullah s.a.w untuk memikul risalah dakwah ke segenap hati dan minda mahasiswa. Menyedari hakikat “kita ini bukan pemula, bukan juga pengakhir perjuangan, tetapi sebagai mata rantai perjuangan Rasulullah s.a.w”, maka perjuangan murni ini harus menjadi platform terbaik kepada kita mencapai redha Ilahi sebagai bekalan menuju kehidupan yang hakiki.

Terkenang saat beraku janji pada 1 Muharram 1427 bersamaan 31 Januari 2006. Detik yang terlalu manis untuk dikenang. Segala janji terpatri untuk menjadi pendokong. Ingatan bicara menjadi penghalang. Sewaktu syaitan datang bertandang. Mengajak insan yang lemah bermaksiat tanpa diundang. Saya akui, permulaan yang sukar untuk kami terima. Amanah itu terlalu berat untuk dipikul oleh kami, apatah lagi ilmu di dada sekadar secukup rasa.

Ilmu yang kurang ditambah menjadi bekalan, agar tidak ketinggalan berhadapan karenah insan. Risalah nubuwwah akan disampaikan, hatta halangan penguasa menjadi bebanan. Segala-galanya akan ditempuhi untuk mengajak umat ke arah amal ma’aruf wa nahi mungkar. Perjuangan ini perlu mengakar. Kemudiannya merimbun sebelum mampu merakyat di medan sakar. Pasti akan terasa kemanisan, sekalipun sekali-skala kepahitan menerjah menjadi kemuncup dalam perjuangan. Itulah tarbiyah daripada Tuhan untukmu PJ8.

1 ulasan:

  1. Salam ziarah dan ukhuwahfillah

    usahakan khuatir. Berkat usaha gigih yang disemaikan kepada adik-adik generasi selepas PJ8. Mereka bakal menjadi perintis mahu pun aktivis yang bersemangat waja bergembleng tenaga untuk meneruskan perjuangan.

    Hatta, saya sebagai ahli PJ11 tidak akan duduk diam. Insyallah, bersiap sedia bagi menyahut seruan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

    BalasPadam