Rabu, 15 April 2009

Perjuangan Kita Baru Bermula


Dengan nikmat ihsan, iman dan Islam kita rafakkan setinggi-tinggi kesyukuran atas perjalanan hidup yang menjadikan kita The ESQ Way 165 pada jalan yang penuh mehnah dan tribulasi ini. Tapisan demi tapisan, sama ada yang berupa tarbiyyah terus daripada Allah SWT atau yang diadakan untuk menguji wala’ dan komitednya kita untuk setia bergelar pendokong perjuangan Islam.

Telah hampir 10 tahun organisasi kita merangkak, bertatih dan berlari. Selama itu, pelbagai mehnah dan karenah telah diharungi, yang walau mampu mencalar gerak kerja, tidak pernah mampu mematikan terus langkah perjuangan. Peluang yang ada ini harus kita manfaatkan untuk mengukur semula prestasi diri kita. Sekalipun hanya beberapa minggu kita akan mematikan langkah perjuangan di kampus, hakikatnya perjuangan kita baru bermula.

Jika diimbas sirah, dalam durasi 13 tahun berdakwah di Makkah, Rasulullah s.a.w mampu menggoncang dan menukar akidah tradisi beratus-ratus orang Arab yang terkenal dengan keras kepala dan jahilnya. Kita pula bagaimana? Perlu kita tanyakan kepada diri kita, berapa jiwa yang telah kita sentuh, berapa hati yang berjaya kita bimbing, dan berapa orang yang telah kita tarik kepada agama Allah Subhanahu Wa Ta’ala?

Prioritinya perlu kita ajukan persoalan bahawa dengan usaha kita yang sedikit dan sambil lewa (asyik bergurau hingga ada yang terasa hati), betulkah kita diiktiraf sebagai pendukung syiar Islam di sisi Allah? Fiqhul Islam Dr. Yusof Qardhawi dalam bukunya Fiqh Aulawiyat meletakkan keutamaan pembinaan individu di atas pembinaan masyarakat. Hal ini bukanlah seruan kepada ahli supaya bertukar gelanggang perjuangan, tetapi ini adalah seruan supaya kita menghayati sedalamnya kata-kata Hassan Al-Banna didalam Risalah Ta’limnya, Islah Nafsak Wadh’u Ghairak. Firman-Nya: yang bermaksud :

"...Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum Muslimin sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.." ( Surah Ar-Ra’d 13;11)

Dr. Yusof Qardhawi menyebut lagi bahawa yang dimaksudkan dengan pendidikan dan pembentukan individu adalah membina manusia mukmin, yang dapat memikul tanggungjawab misi dakwah; bertanggungjawab menyebarkan risalah Islam; tidak kedekut terhadap harta benda; tidak sayang terhadap jiwanya dalam melakukan perjuangan di jalan Allah.

Pada masa yang sama dia merupakan contoh hidup yang dapat menerapkan nilai-nilai agama dalam dirinya, sekaligus menarik orang lain untuk melakukan hal yang sama. Dalam dirinya orang melihat Islam yang benar-benar hidup. Sesuatu yang mustahil individu yang tidak cemerlang akhlaknya, gemilang ibadahnya, dan terbilang akidahnya mampu untuk menjadi suri teladan dalam perjuangan dakwah ini.

Justeru perlulah pendukung-pendukung syiar Islam berusaha bersungguh-sungguh menyatukan jiwa perjuangan dengan jiwa sufi, menampilkan imej yang soleh dan terbaik daripada semua aspek dan segi, agar dengan kemuliaan yang terpancar daripada dirinya mampu menggamit hati-hati mad’u mendekati ajaran Islam.

Setiap organisasi Islam itu perlunya ada seorang yang digelar ‘waliyyam mursyida’, setiap keputusannya mendapat petunjuk dan bimbingan terus daripada Allah Ta’ala. Sudah terlalu lama kita berada di dalam zon selesa. Sudah sampai masanya kita melebarkan sayap dakwah dan tarbiyah merentasi sempadan agama, menjangkaui kelompok kita dan melewati pagar-pagar kampus. Sudah sampai masanya kita turun dalam satu usaha yang konsisten dan bersungguh-sungguh di tengah-tengah masyarakat kampus khususnya dan masyarakat awam amnya untuk menyampaikan mesej kita dengan terbuka. Sudah sampai masanya kita belajar untuk benar-benar menginfakkan harta, tenaga dan diri kepada perjuangan mendaulatkan syiar Islam. Bagi merealisasikan imaginasi seindah fantasi ini kita memerlukan persiapan fikrah yang suci, jiwa yang kental, dan gerakan yang sepadu.

Akhirnya, perlulah kita berpegang teguh pada keyakinan bahawa dengan kesungguhan kita berjuang walau dalam jumlah yang sedikit, akan mendapat jaminan kemenangan di dunia dan akhirat. Perlulah kita bermuhasabah, sama ada kehadiran kita lebih banyak memberikan sumbangan atau menyekat kelancaran gerak kerja? Sama ada keberadaan kita bermatlamat untuk mendapatkan sesuatu atau memberikan sesuatu? Anda pasti ada jawapannya,. Ayuh, sama-sama kita berdoa “Ya Muqallibal Qulub, Thabbit Qulubana ‘ala Dinik wa ‘ala Ta’atik”, untuk perjuangan kita yang baru bermula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan