Rabu, 29 April 2009

Memburu Cinta ILahi

Masa yang berlalu jangan kau tangisi. Biarlah ia menjadi lipatan sejarah. Masa yang akan datang jangan terasa kita yang punya. Bukankah ketetapan itu ketentuan Allah Ta’ala? Dia yang menjadikanmu. Dia jugalah yang berhak mengatur hidupmu. Ketetapan itu pasti berlaku, tidak ke depan dan tidak ke belakang. Walau satu detik sekalipun. Apakah sudah lupa pada janji “Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku untuk ALLAH, Tuhan sekalian alam." (Al-An'am : 162). Sesuatu yang terlintas di akal fikiranmu, gerak itu ilham Tuhanmu. Ia mungkin berlaku dan mungkin juga tidak. Bukan semestinya setiap lintasan itu engkau layan. Timbanglah dengan rasionalmu. Kau akan diuji. Ujian itu bermacam-macam; ada yang zahir dan ada yang batin. Dalam menghadapi ujian zahir, ramai yang bertahan; pun begitu tatkala berdepan dengan ujian batin, ramai yang tergelincir dan kecundang. Ingatlah, mencari cinta, kasih dan sayang bukanlah mudah. Dengarkah kau? Namamu dipanggil berulang-ulang kali dan suara itu menusuk kalbu menikam jantung hatimu, bertubi-tubi berulang kali. Itulah suara kekasih yang memanggil:

“Ayuh ke mari wahai hamba-Ku, ke marilah dalam pangkuan-Ku. Ke marilah dalam ribaan kasih-Ku. Aku rindu padamu. Kasihan hamba-Ku. Sudah hampir terbakar hangus jantungmu, remuk berkecai hatimu. Siang dan malam bagai tak kau hirau lagi. Badai cintamu yang menggila bila akan reda? Ini Aku datang. Bukankah Aku yang kau cari? Terpadam sudahkah api rindumu? Cair sudahkah lilin cintamu? Aku juga kasih padamu. Aku juga rindu padamu. Aku juga cinta padamu. Sehasta engkau hampiri diri-Ku, sedepa Aku rapat kepadamu. Engkau berjalan kepada-Ku, Aku berlari kepadamu. Sambutlah wahai kekasih cinta-Ku. Jangan kau putuskan ikatan kasih ini. Kalau antara kita terpisah, terasing, terlerai tidak ada ikatan. Aku adalah Aku, engkau adalah engkau - maka Aku tetap Yang Esa, yang berkuasa, yang gagah, tidak rosak dan tidak binasa; manakala engkau tetap engkau yang lemah, yang jahil, yang hina, yang hancur, yang rosak dan yang binasa. Maka, sekali ikatan ini tersimpul, jangan berani kau buka dan leraikan. Aku tidak pernah khianat dalam cinta. Cinta-Ku agung, suci dan mulia. Jangan sia-siakan cinta-Ku. Cinta-Ku kekal abadi dan sejati. Tidak akan kau jumpa cinta seagung cinta-Ku. Jangan kau khianat, jangan kau curang. Kelak akan Aku hukum. Ingat, murka-Ku setara dengan cinta-Ku. Tidak ada bumi yang sanggup menanggung. Kelak kau Aku campak ke kerak api Neraka dan tidak Aku pandang engkau buat selamanya. Maka itu awaslah! Jika inginkan cinta-Ku, bersiap sedialah, engkau akan Aku uji. Benarkah cinta-Ku yang kau cari atau kau hanya memburu syurga-Ku dan lari dari Neraka-Ku. Aku masih mencari cinta agung sesuci kasih Muhammad kepada-Ku. Letakkanlah cinta Muhammad sebagai neraca cintamu kepada-Ku. Cinta Muhammad adalah kayu ukur cinta makhluk kepada Tuhannya. Dia mencintai-Ku segenap jiwa dan raganya. Semuanya telah diserahkan. Semuanya telah dikorbankan. Dirinya menjadi tebusan menebus cinta. Muhammad membeli cinta dengan nyawanya. Nah! Kau pula menagih cinta-Ku dengan apa?"

Apakah jawapan kita? Sudah diceritakan secara terperinci kisah kasih, cinta dan rindu. Usahlah lagi kita dibuai hanyut dalam cinta nafsu yang melulu. Carilah cinta suci, cinta agung, cinta yang kekal abadi tidak luntur dek zaman, tak lekang dek masa. Datanglah ombak badai yang menggila setara mana, namun cinta yang agung itu tetap kukuh tersimpan bagai mutiara di dasar lautan. Allah SWT tidak menzalimi hamba-hamba-Nya, namun kita yang selalu menzalimi diri sendiri. Kasihilah apa yang ada di dunia ini hanya kerana kasihnya kita kepada ALLAH. Cintailah apa yang ada di dunia ini hanya kerana cintanya kita kepada ALLAH. Sayangilah apa yang ada di dunia ini hanya kerana sayangnya kita kepada ALLAH. Semoga sayang kita, kasih kita, cinta kita, semata-mata kerana Allah. Pendayung sudah di tangan, perahu bersiap di lautan, terserah kepada insan, menuju jalan cinta yang disulami keredaan.

1 ulasan:

  1. "Jika inginkan cinta-Ku, bersiap sedialah, engkau akan Aku uji. Benarkah cinta-Ku yang kau cari atau kau hanya memburu syurga-Ku dan lari dari Neraka-Ku."

    satu peringatan yg baik.
    terima kasih kerana berkongsi.

    BalasPadam